Khamis, 31 Disember 2009

untukmu sahabat.......1

Ketahuilah sahabatku, bahawa masa yang diperuntukkan kepada kita amatlah terbatas berbanding dengan kewajipan yang kita ada. Kerana itu gunakanlah sebaik-baiknya peluang yang ada. Jangan sedikitpun saudara alpa. Rugi sesaat sahabat akan merana. Maka inilah nasihatku untukmu. Kau bacalah. Renungkanlah. Dan amalkanlah..

Pertama: untuk tuhan saudara

  • hendaklah saudara tahu bersuci dengan betul dan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk.
  • tunaikan sembahyang dengan betul dan mengikut waktu yang telah ditetapkan. Jangan saudara meringan-ringankan solat. Malah seboleh-bolehnya saudara menunaikannya secara berjamaah di masjid.
  • hendaklah saudara berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu haji jika mampu dan mulakan untuk mencari persediaan ke sana mulai sekarang jika saudara belum mampu pada ketika ini.
  • hendaklah saudara hampirkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadat yang sunat seperti sembahyang tahajjud di keheningan malam, berpuasa sekurang-kurangnya 3 hari pada setiap bulan, membasahi lidah dengan zikrullah dan berdoa setiap masa.

Kedua: untuk ruh saudara

  • berusahalah untuk mempelajari membaca al-Quran dengan betul serta berusahalah untuk mendengar dan memikirkan pengertiannya . Adunkan dengan mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w serta angkatan as-salafu saleh sekadar yang saudara mampu dan bergantung masa yang saudara miliki. Buku “Hamalah al-Islam” bolehlah dijadikan rujukan permulaan .
  • jangan lupa untuk saudara wiridkan “al-Quran” tidak kurang dari satu juzu’ pada setiap hari. Bersungguh-sungguhlah membacanya. Mudah-mudahan saudara khatam tidak lebih dari sebulan. Tetapi, jangan pula jangan pula terlalu gopoh untuk mengkhatamkannya kurang dari 3 hari.
  • lengkapkanlah diri dengan ilmu akidah sebagai benteng iman saudara. Ilmu feqah sebagai panduan amalan saudara. Ilmu akhlaq sebagai penghias jiwa saudara. Balajarlah melalui guru yang mursyid. Tanyakan masalah kepada mereka. Kemudian rujuklah mana-mana risalah, makalah dan kitab sebagai tambahan.
  • banyakkan membaca hadis-hadis nabi dan menghafaz sekurang-kurangnya 40 hadis iaitu hadis 40 karangan Imam Nawawi. Saudara belajarlah memahami pengertiannya dan amalkanlah tuntutannya.
  • berusahalah untuk membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa bermutala’ah pelajaran. Seboleh-bolehnya saudara memiliki perpustakaan sendiri sekalipun kecil. Dengan ini saudara dapat mendalami ilmu pengetahuan dan kepandaian saudara.
  • jika saudara termasuk dalam golongan orang-orang yang pakar dalam satu-satu disiplin ilmu, hendaklah saudara ceburkan diri membina pengalaman berkenaan urusan-urusan keislaman. Saudara kembangkan kepakaran saudara untuk islam dan umatnya. Sesuaikannya dengan kepentingan umat masa kini.

Rabu, 30 Disember 2009

demi masa..............

Ada 4 golongan yang terselamat daripada menjadi manusia yang rugi iaitu:

  1. Beriman
  2. Beramal salih
  3. Berpesan dengan kebaikan
  4. Berpesan dengan kesabaran

Ibnu Qayyim di dalam kitabnya "Miftahu Daris-Sa'adah" menerangkan; "Kalau keempat - empat martabat telah tercapai oleh manusia, hasillah tujuannya menuju kesempumaan hidup.

  1. : Mengetahui Kebenaran.
  2. : Mengamalkan Kebenaran itu.
  3. : Mengajarkannya kepada orang yang belum pandai memakaikannya.
  4. :Sabar di dalam menyesuaikan diri dengan Kebenaran dan mengamalkan serta mengajarkannya.

Hidup ini hanyalah sementara sahaja. Kerana masa terus berputar dan tidak pernah berhenti. Untuk mengejarnya kita akan tercungap-cungap keletihan. Untuk memintasnya jauh sekali. Tetapi untuk melepaskannya pergi, teramatlah mudah. Itulah kerja kita. Tidak hairan, apabila siang malam silih berganti, hari berselang seli, minggu terus memecut pergi, bulan bertukar nama , tahun menjelang senja, namun kerja kita terus menimbun. Hari ini tak siap, bawa ke esok. Minggu ini tak sempat bawa next week. Bulan ini tak jadi, tangguh ke bulan depan. Tahun ini tak tahu lagi, tengoklah tahun depan kalau jadi. Itulah kita. Tapi jarum jam terus berputar.

2009 akan pulang. Pastinya tak akan kembali. Begitu juga kita, akan pulang. Juga tak akan kembali. Saudara kita sudah ramai yang pulang. Tokki mendahului. Tokwan mengikuti. Ayah long, mak ngah, pak uteh, makde, semuanya dah tak ada. Tinggal lagi kita. Berita tentang orang pulang jangan lagi dicerita. Mata udah puas melihat. Telinga udah puas mendengar dan mulut udah puas membaca. Anehnya kita macam ini juga. Tak rasa apa-apa. Alah!! yang perginya dia. Dah memang masa untuknya.

Jarum jam berbutar lagi. Berputar dan terus berputar. Meninggalkan detik semalam, kelmarin dan hari sebelumnya untuk melangkah ke hari baru, minggu baru, bulan baru dan tahun baru. Menjadikan kita semakin berusia dan dewasa. Ada yang sedikit geliga, mencuba ilmu awet muda. Tapi masa tak pernah menipu dan tertipu. Awetnya memang muda tapi usia tetap dewasa. Perasannya muda belia rupanya dah senja. Disuruh senyum, gigi pun dah tak ada.

Jarum jam berputar lagi. Untuk memberi peluang supaya kita berebut-rebut. Bukannya berebut harta. Kerana berebut harta samalah seperti kita menggali lubang yang kita berada dalam lubang itu. Tanpa kita sedari semakin dalam kita gali, semakin bahaya kita di dalamnya. Kerana itu kita di suruh rebut lima perkara ;

  1. Hidup sebelum mati
  2. Sihat sebe4lum sakit
  3. Masa lapang sebelum sempit
  4. Muda sebelum tua
  5. Kaya sebelum papa

Jarum jam berputar lagi. Memberi peluang untuk muhasabah diri. Bertaubat kepada ilahi. Memperbaiki diri. Ya Rabbi,,,, Ighfir zunubi.. Sebelum diambilnya kita untuk kembali, marilah kita ikhlaskan diri. Perbetulkan nawaitu dihati. Semoga amalan kita diredhai. Di hadapan Allah menjadi saksi. Apabila kita di sana nanti.

Ketahuilah: Sesungguhnya taubat yang diterima Allah hanyalah taubat orang-orang yang membuat sesuatu kejahatan kerana sebab kejahilannya, kemudiam mereka bertaubat dengan seberapa segera. Mereka itulah orang yang diterima Allah akan taubatnya. Adalah Allah itu maha mengetahui lagi maha bijaksana.

Dan tidaklah taubat orang-orang yang berbuat kejahatan sehingga apabila seseorang itu berdepan dengan kematian , barulah dia berkata: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang! dan tidak juga diterima taubat orang-orang yang mati padahal mereka dalam kekufuran. Bagi mereka itu, kami telah sediakan azab yang pedih.(al nisa': 17-18)

Jumaat, 18 Disember 2009

Maal Hijrah VS Bola

Malam tadi saya mengetuai majlis bacaan yasin di surau kg isteri saya, surau Raja Kampung Barang, Gelugur Kedai, Kuala Terengganu. Program itu sudah saya war-warkan lebih 2 minggu lalu agar ahli qaryah dapat meluangkan sedikit masa untuk program tersebut. Di samping boleh juga mereka membuat perancangan dan persediaan. Fikir saya, sekali setahun takkan mereka tak boleh luangkan masa. Dua hari lalu pun saya masih lagi memperingatkan jemaah tentang program sambutan Hijrah ini. Saya menjangka kehadiran jemaah kali ini melebihi kehadiran mereka ketika malam nisfu syaban.

Kita merancang.Allah swt juga merancang.Dan Allahlah sebaik-baik perancang. Sangkaan baik saya ternyata meleset. Kebetulan petang kelmarin juga ada siaran langsung final football sea games antara Malaysia menentang Vietnam. Game yang mula pukul 6 petang disiarkan secara langsung di RTM 2 dan TV3. YB Timbalan Menteri dalam perbahasan di Dewan Negara atas dasar semangat kesukanannya mengesyorkan majikan memberi pelepasan kepada pekerja agar dapat pulang awal untuk mengadap bola yang dikatakan akan berubah menjadi kilauan emas itu. Sekali ingat pesanan YB itu, teringat saya semasa kecil ada iklan di tv: Hidup bola.... makan bola....tidur bola....minum coca-cola.Setakat ilmu bola yang saya pelajari,masa yang diperuntukkan untuk satu game bola sepak ialah 90 minit dan 10 minit untuk rehat. Masa kecederaan kalau adapun sekitar 3 hingga 4 minit. Ini bererti kalau game itu bermula jam 6 ptg, paling-paling cepat kalau tamat pun sudah tentu melebihi jam 7.45 malam. Kalau di waktu qaryah saya jam 7.45 mlm hanya kurang 20 minit untuk ke waktu Isyak. Sesuailah Allah menyebut "sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpesan-pesan dengan kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Walaupun saya dan jemaah khusyuk di sejadah, maklumat bola tetap sampai di atas sejadah saya. Jangan silap sangka sejadah saya bangun berdiri memberitahu tentang bola. Nanti heboh satu Malaysia, sejadah boleh bercakap sebagaimana hebohnya sejadah boleh berdiri. Khabarnya keputusan match itu berpihak kepada Malaysia dengan kelebihan 1 gol. Maknanya Malaysia memenangi pingat emas setelah 20 tahun menanti. Lawan yang ditewaskan Malaysia pula sudah tentu mendapat perak kerana ini ialah final game. Kedua-dua pasukan mesti ada pingatnya, cuma warna sahaja yang membezakan.

Kalau Malaysia tewas pun, saya rasa penyokong Malaysia taklah kecewa sangat. Kerana Malaysia akan dapat perak. Itu pun sudah dikira cemerlang. Namun yang paling saya kecewa apabila saya tewas pada malam itu. Saya ditewaskan ahli jemaah yang biasanya ada apabila saya ada. Kehadiran jemaah malam itu cukup mencabar saya. Sekaligus motivasi saya jatuh merudum macam moral pasukan bola wanita kita yang tewas 14 gol di Viantianne, Laos. Mungkin ini simbolik daripada wahyu yang diterima Rasulullah saw lebih 1431hijrah yang lalu: "Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu suka, tetapi Allah swt memberi petunjuk kepada siapa yang ia kehendaki." Hati saya membisik: sambutan dakwah yang diterima oleh Rasulullah saw di zaman makkiyyah lebih dahsyat lagi. 13 tahun menyeru, tak sampai pun 100 orang yang menyahut.

Apapun apa yang dirancang mestilah dilaksana. Kata orang Terengganu, "kene tebeng jugok." Selesai solat Maghrib, saya mengetuai jemaah membaca doa awal tahun hijrah, dan bacaan surah yasin. Habis surah yasin, saya menyampaikan sedikit tazkirah. Selesai solat Isyak jemaah dihidangkan jamuan yang boleh tahan juga menunya. Seketika menjamu juadah, pengerusi surau sempat juga membisik ke telinga saya."ustaz, saya dah kira. 47 orang semuanya termasuk muslimat dan anak-anak." saya menjawab,"mudah-mudahan kekal sepanjang 1431 hijrah."

Agaknya menjelang 13 tahun lagi, berapa bilangannya? Bertambahkah? berkurangkah?

Hijrah Memantapkan Ukhuwah
Hijrah Memperkasa Ummah

Selasa, 15 Disember 2009

SALAM HIJRAH............

Alhamdulillah segala puji yang menggunung tinggi kepada tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada nabi Muhammad s.a.w. yang membawa ajaran Islam agama yang suci dan cara hidup yang murni menuju kesejahteraan dan kedamaian dunia dunia serta akhirat.

Sebelum meneruskan tinta hamba, ingin hamba petik noktah muqaddimah daripada dr 'Aidh Abdullah al-Qarni : sesungguhnya menjatuh suatu hukuman terhadap sesuatu sebelum mengenali, merasai dan menciumnya adalah tindakan yang amat keliru. dan sesungguhnya memberi hukum (fatwa) sebelum menilik dan berfikir panjang, sebelum mendengar dakwaan, melihat hujah dan membaca alasan adalah sesuatu yang zalim.

Dalam masa beberapa hari lagi tahun 1430hijrah akan meninggal pergi dan 1431hijrah akan datang menghiasi. Sedar tak sedar rupanya kita dah nak berada di tahun yang baru. Umur pun baru.Azam baru. Cepatnya masa berlalu.Patutlah al-sheikh al-Ba'lawi dalam menghuraikan hadis rasululullah s.a.w. :ada 2 nikmat yang kebanyakan manusia sering tertipu dengannya. iaitu kesihatan dan masa lapang. Kata sheikh al-Ba'lawi: awaslah kamu dengan masa! sekali ia berlalu, kamu tak akan dapat gantinya walau di mana jua kamu mencarinya. Itulah masa yang bayak membuat manusia tertipu dengannya. Oleh itu, berhati-hati dan waspadalah dengan masa. Imam al-Ghazali pernah berteka-teki dengan muridya. Diajukan soalan: Apakah yang paling jauh dengan kita? Apa ya? Pelbagai reaksi jawapan dilontar muridnya. Namun semuanya tidak dipersetujui. Lalu imam al-Ghazali sendiri menjawabnya. Katanya: masa yang berlalu.

Setahun berlalu pelabagai warna warni kehidupan telah kita lalui. Ada ketika peristiwa yang kita lalui itu membuatkan kita senyum gembira. Selalu kita mengingati peristiwa itu membuatkan kita tersenyum keseorangan.Entah kenapa, rasanya ingin kita lalui sentiasa detik itu. Biarlah kehidupan kita dihiasi dengan detik itu. Tidak kurang juga ada peristiwa yang membuatkan kita menangis hiba. Rasanya ingin saja dibuang dari kamus kehidupan seolah-olah kita tidak pernah melalui detik itu. Biar orang lain saja yang merasainya. Asal bukan kita.

Kelaziman orang korporat, akhir tahun dunianya amat sibuk. Sehingga ada yang menjadikan rumahnya pejabatnya. Tidak kurang pula yang menukarkan menjadi pejabatnya rumahnya. Al-maklum, nak mengaudit untung kira setahun berniaga. Untungkah dia? Rugikah dia? Balik modalkah dia? Kemajuannya apa? Seterusnya apa perancangan tahun berikutnya? Nak buka cawangan baru ke? Nak tambah pekerja ke? dan pelbagai persoalan lagi.

Sempena kedatangan tahun baru hijrah, ingin tinta hamba mengajukan persoalan sama tentang iman kita. Pernahkah kita mengaudit iman kita? Bertambahkah ia? Berkurangkah ia? Sama saja ke? Bukankah setiap kali menjelang tahun baru, kita akan menyatakan azam baru? Ke mana ia? atau tinggal angan-angan saja. Amalnya di mana? Justeru, kembalilah kita kepada ajaran agama : bukanyya iman itu dengan angan semata-mata, tapi apa yang diyakini dalam hati dan diterjemah dengan amalan.

Sementara kurniaan Allah dengan umur yang panjang masih ada, manfatkanlah sebaik-baiknya. Kerana sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya, banyak amal kebaikannya. Mudah-mudahan 1431 hijrah menjadi tahun beramal untuk kita.

Salam maal hijrah
Memantapkan ukhuwah
Memperkasa ummah