Alhamdulillah segala puji yang menggunung tinggi kepada tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada nabi Muhammad s.a.w. yang membawa ajaran Islam agama yang suci dan cara hidup yang murni menuju kesejahteraan dan kedamaian dunia dunia serta akhirat.
Sebelum meneruskan tinta hamba, ingin hamba petik noktah muqaddimah daripada dr 'Aidh Abdullah al-Qarni : sesungguhnya menjatuh suatu hukuman terhadap sesuatu sebelum mengenali, merasai dan menciumnya adalah tindakan yang amat keliru. dan sesungguhnya memberi hukum (fatwa) sebelum menilik dan berfikir panjang, sebelum mendengar dakwaan, melihat hujah dan membaca alasan adalah sesuatu yang zalim.
Dalam masa beberapa hari lagi tahun 1430hijrah akan meninggal pergi dan 1431hijrah akan datang menghiasi. Sedar tak sedar rupanya kita dah nak berada di tahun yang baru. Umur pun baru.Azam baru. Cepatnya masa berlalu.Patutlah al-sheikh al-Ba'lawi dalam menghuraikan hadis rasululullah s.a.w. :ada 2 nikmat yang kebanyakan manusia sering tertipu dengannya. iaitu kesihatan dan masa lapang. Kata sheikh al-Ba'lawi: awaslah kamu dengan masa! sekali ia berlalu, kamu tak akan dapat gantinya walau di mana jua kamu mencarinya. Itulah masa yang bayak membuat manusia tertipu dengannya. Oleh itu, berhati-hati dan waspadalah dengan masa. Imam al-Ghazali pernah berteka-teki dengan muridya. Diajukan soalan: Apakah yang paling jauh dengan kita? Apa ya? Pelbagai reaksi jawapan dilontar muridnya. Namun semuanya tidak dipersetujui. Lalu imam al-Ghazali sendiri menjawabnya. Katanya: masa yang berlalu.
Setahun berlalu pelabagai warna warni kehidupan telah kita lalui. Ada ketika peristiwa yang kita lalui itu membuatkan kita senyum gembira. Selalu kita mengingati peristiwa itu membuatkan kita tersenyum keseorangan.Entah kenapa, rasanya ingin kita lalui sentiasa detik itu. Biarlah kehidupan kita dihiasi dengan detik itu. Tidak kurang juga ada peristiwa yang membuatkan kita menangis hiba. Rasanya ingin saja dibuang dari kamus kehidupan seolah-olah kita tidak pernah melalui detik itu. Biar orang lain saja yang merasainya. Asal bukan kita.
Kelaziman orang korporat, akhir tahun dunianya amat sibuk. Sehingga ada yang menjadikan rumahnya pejabatnya. Tidak kurang pula yang menukarkan menjadi pejabatnya rumahnya. Al-maklum, nak mengaudit untung kira setahun berniaga. Untungkah dia? Rugikah dia? Balik modalkah dia? Kemajuannya apa? Seterusnya apa perancangan tahun berikutnya? Nak buka cawangan baru ke? Nak tambah pekerja ke? dan pelbagai persoalan lagi.
Sempena kedatangan tahun baru hijrah, ingin tinta hamba mengajukan persoalan sama tentang iman kita. Pernahkah kita mengaudit iman kita? Bertambahkah ia? Berkurangkah ia? Sama saja ke? Bukankah setiap kali menjelang tahun baru, kita akan menyatakan azam baru? Ke mana ia? atau tinggal angan-angan saja. Amalnya di mana? Justeru, kembalilah kita kepada ajaran agama : bukanyya iman itu dengan angan semata-mata, tapi apa yang diyakini dalam hati dan diterjemah dengan amalan.
Sementara kurniaan Allah dengan umur yang panjang masih ada, manfatkanlah sebaik-baiknya. Kerana sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya, banyak amal kebaikannya. Mudah-mudahan 1431 hijrah menjadi tahun beramal untuk kita.
Salam maal hijrah
Memantapkan ukhuwah
Memperkasa ummah
Selasa, 15 Disember 2009
SALAM HIJRAH............
Posted by wahbah alshafie at Selasa, Disember 15, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan