Malam tadi saya mengetuai majlis bacaan yasin di surau kg isteri saya, surau Raja Kampung Barang, Gelugur Kedai, Kuala Terengganu. Program itu sudah saya war-warkan lebih 2 minggu lalu agar ahli qaryah dapat meluangkan sedikit masa untuk program tersebut. Di samping boleh juga mereka membuat perancangan dan persediaan. Fikir saya, sekali setahun takkan mereka tak boleh luangkan masa. Dua hari lalu pun saya masih lagi memperingatkan jemaah tentang program sambutan Hijrah ini. Saya menjangka kehadiran jemaah kali ini melebihi kehadiran mereka ketika malam nisfu syaban.
Kita merancang.Allah swt juga merancang.Dan Allahlah sebaik-baik perancang. Sangkaan baik saya ternyata meleset. Kebetulan petang kelmarin juga ada siaran langsung final football sea games antara Malaysia menentang Vietnam. Game yang mula pukul 6 petang disiarkan secara langsung di RTM 2 dan TV3. YB Timbalan Menteri dalam perbahasan di Dewan Negara atas dasar semangat kesukanannya mengesyorkan majikan memberi pelepasan kepada pekerja agar dapat pulang awal untuk mengadap bola yang dikatakan akan berubah menjadi kilauan emas itu. Sekali ingat pesanan YB itu, teringat saya semasa kecil ada iklan di tv: Hidup bola.... makan bola....tidur bola....minum coca-cola.Setakat ilmu bola yang saya pelajari,masa yang diperuntukkan untuk satu game bola sepak ialah 90 minit dan 10 minit untuk rehat. Masa kecederaan kalau adapun sekitar 3 hingga 4 minit. Ini bererti kalau game itu bermula jam 6 ptg, paling-paling cepat kalau tamat pun sudah tentu melebihi jam 7.45 malam. Kalau di waktu qaryah saya jam 7.45 mlm hanya kurang 20 minit untuk ke waktu Isyak. Sesuailah Allah menyebut "sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpesan-pesan dengan kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran."
Walaupun saya dan jemaah khusyuk di sejadah, maklumat bola tetap sampai di atas sejadah saya. Jangan silap sangka sejadah saya bangun berdiri memberitahu tentang bola. Nanti heboh satu Malaysia, sejadah boleh bercakap sebagaimana hebohnya sejadah boleh berdiri. Khabarnya keputusan match itu berpihak kepada Malaysia dengan kelebihan 1 gol. Maknanya Malaysia memenangi pingat emas setelah 20 tahun menanti. Lawan yang ditewaskan Malaysia pula sudah tentu mendapat perak kerana ini ialah final game. Kedua-dua pasukan mesti ada pingatnya, cuma warna sahaja yang membezakan.
Kalau Malaysia tewas pun, saya rasa penyokong Malaysia taklah kecewa sangat. Kerana Malaysia akan dapat perak. Itu pun sudah dikira cemerlang. Namun yang paling saya kecewa apabila saya tewas pada malam itu. Saya ditewaskan ahli jemaah yang biasanya ada apabila saya ada. Kehadiran jemaah malam itu cukup mencabar saya. Sekaligus motivasi saya jatuh merudum macam moral pasukan bola wanita kita yang tewas 14 gol di Viantianne, Laos. Mungkin ini simbolik daripada wahyu yang diterima Rasulullah saw lebih 1431hijrah yang lalu: "Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu suka, tetapi Allah swt memberi petunjuk kepada siapa yang ia kehendaki." Hati saya membisik: sambutan dakwah yang diterima oleh Rasulullah saw di zaman makkiyyah lebih dahsyat lagi. 13 tahun menyeru, tak sampai pun 100 orang yang menyahut.
Apapun apa yang dirancang mestilah dilaksana. Kata orang Terengganu, "kene tebeng jugok." Selesai solat Maghrib, saya mengetuai jemaah membaca doa awal tahun hijrah, dan bacaan surah yasin. Habis surah yasin, saya menyampaikan sedikit tazkirah. Selesai solat Isyak jemaah dihidangkan jamuan yang boleh tahan juga menunya. Seketika menjamu juadah, pengerusi surau sempat juga membisik ke telinga saya."ustaz, saya dah kira. 47 orang semuanya termasuk muslimat dan anak-anak." saya menjawab,"mudah-mudahan kekal sepanjang 1431 hijrah."
Agaknya menjelang 13 tahun lagi, berapa bilangannya? Bertambahkah? berkurangkah?
Hijrah Memantapkan Ukhuwah
Hijrah Memperkasa Ummah
Jumaat, 18 Disember 2009
Maal Hijrah VS Bola
Posted by wahbah alshafie at Jumaat, Disember 18, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan