Rabu, 27 Januari 2010

warisan ayah.........

kini, lebih 10 tahun ayah meninggalkan kami sekeluarga. Sepanjang hayatnya ayah pernah berkahwin dengan 2 orang perempuan. Sebelum emak menjadi pilihan ayah untuk dijadikan permaisurinya, ayah pernah berkahwin  dengan Puan Syarifah (sekarang allahyarhamuha). Perkahwinan pertama ini, ayah dikurniakan 5 orang anak. 4 lelaki dan seorang perempuan. Abang Musa, Kak Simah, Abang Ali, Abang Aziz dan Abang Usop.

emak  mengambil alih peranan suri hidup ayah setelah perkahwinan pertama ayah menemui kegagalan. Perkongsian hidup ayah dan emak melahirkan seorang puteri dan 5 orang askar. Abang Rashid, Abang Razak, Abang Majid, saya dan Adik Mek. Semuanya sudah membawa haluan hidup masing-masing kecuali Abang Razak. Semoga Allah akan ketemukannya jodoh yang baik. Amin.

pendidikan ayah sekadar sekolah pondok. Setakat pengetahuan saya, ayah pernah belajar di Pondok Haji Mat Shafie, Losong. Kampung Losong hari ini lebih dikenali dengan perusahaan keropok. Kesan warisan pengajian pondoknya hilang dicelah-celah kemashuran perusaan keropok. Betullah kata pepatah, "harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Ayah juga pernah berguru dengan Tuan Guru Haji Syuaib, Alor Tuman.

mungkin pelita ayah sudah ditakdirkan malap. Ayah tidak mampu menulis. Membaca pun hanya tulisan jawi. Kalau ejaan rumi, ayah hanya mampu mengeja namanya sahaja. Itupun setelah diulang beberapa kali. Tetapi Allah itu sifatnya Maha Kaya. Maha Adil. Dikurnianya hikmah dan kemahiran kepada sesiapa yang menjadi pilihannya dan disembunyikan hikmah dari sesiapa yang sudah ditentukannya. Itulah ALLAH. Rabbul Alamin.

ayah memiliki satu kemahiran yang tidak dimiliki oleh orang lain. Kemahiran yang membuatkan ayah cukup dikenali. Dari Kelulut sampailah Rusila. Dari Marang sampailah Pengkalan Berangan. Ayah kadang-kadang dicari macam polis mencari penjenayah. Kalau ayah ke pasar, pencari tetap akan mencari. Kalau ayah ke laut, si pencari setia menanti. Pendek kata, kalau ayah diperlukan, ayah tetap akan dicari. Itulah gunanya ayah dalam masyarakat. Hanya kerana ayah berkemahiran menguruskan jenazah. Sehinggakan dalam rekod sekolah saya, cikgu mencatat bahagian pekerjaan bapa: mengurus orang mati.

ayah mula berkecimpung dalam pengurusan jenazah seawal usia 20-an. Mewarisi ilmu ini dari arwah Tok Ki. Zaman Tanah Melayu belum merdeka lagi. Zaman orang bersekolah boleh dibilang dengan jari. Lulus darjah 6 dah dikira tinggi. Kalau nasib menyebelahi, dapat jadi pegawai. Hingga ayah menghembuskan nafas terakhir, ayah bergelumang dengan mayat lebih kurang 50 tahun. Macam-macam mayat ayah uruskan. Yang hilang kaki. Yang putus kepala. Yang dipotong tangannya. Yang lemas dilaut.Yang hilang dan dijumpai tergantung dalam hutan. Yang di patuk ular. Yang kalu saya coretkan di sini, tak sanggup anda membacanya pun ada dan macam-macam lagi.

mungkin satu pengalaman ayah boleh saya kongsi di sini. Awal ayah jadi pengurus jenazah. Zaman itu zaman baru merdeka. Khurafat dalam alam melayu memang banyak. Tahyul jadi kebanggaan. Bomoh jadi rujukan. Bila ada je masalah, rujukannya ialah bomoh. Bomoh pulak bela-belaan. Ada pakai jin. pakai hantu. pelesit dsb. Maka khianat dibalas khianat.

satu ketika ayah dijemput menguruskan mayat seorang tua yang baru meninggal dunia. menurut cerita orang ini semasa hayatnya terkenal dengan banyak belaan hantu raya. Sebelum meninggal, khabarnya dia terlentang di tikarnya lebih 3 bulan. Namun sebaik meninggal, mayatnya terus berulat. Apabila ayah tiba, ayah sudah mendapat alamat sesuatu berasaskan pengalamannya sebelum ini. Firasat ayah memberitahu sesuatu yang buruk. Namun ayah tetap teruskan tanggungjawabnya. Amanah yang disanggupinya tetap akan dilakukan. 

ayah membuka kain tutup mayat. Terkejut ayah. Mata si mati bulat merenung tepat wajah ayah.  Pengalaman mengajar ayah membuat pendinding. Pada pandangan ayah, orang ini sebenarnya bukan baru meninggal. Tapi sudah lebih seminggu. Dengan pengalaman yang ada, ayah memandikan dan mengkafankan. Selesai sembahyang, jenazah dibawa ke perkuburan sebagaimana lazimnya.

malam itu ayah tak dapat tidur. Sesuatu telah mengganggunya. Ia berterusan beberapa hari. banyak tempat yang ayah pergi mencari penawar. Pendindingnya tidak sekuat orang itu. Penyakit ayah tak dapat disahkan. Mental pun tidak, fizikal pun tidak. Ayah akhirnya dimasukkan ke wad psikiatri. Kata emak, 2 tahun emak berulang alik ke Hospital Besar Kuala Terengganu (sekarang Hospital Sultanah Nur Zahirah) menjaga ayah.

Rabu, 20 Januari 2010

kenangan lalu.....episod 2

setengah jam membonceng motorsikal, kami pun tiba di rumah. Tanpa berlengah, saya terus masuk. Mencari ayah. Kepada ibu saya menerpa. "Mak! mana ayah?" soalan pertama saya. "Ayah dalam bilik", balas emak. Suasana di rumah sepi dan suram. Di halaman sana, orang kampung mula memenuhi. Sememangnya ayah begitu popular di kalangan orang kampung. Bukan kerana ayah seorang berjawatan. Bukan juga kerana ayah seorang hartawan. Tapi ayah cukup dikenali. Dari Kelulut sampailah ke Rusila. sebut saja nama Pak De Awang Tukang Mandi Mayat pasti orang akan mengenalinya. Sehinggakan kanak-kanak juga ada yang mengenalinya. Tugas rasmi ayah dalam masyarakat ialah menguruskan jenazah. Ayah tidak memiliki pakej komersil seperti yang rancak berkembang di zaman sekarang. Pakej yang menakutkan seseorang untuk mati. Sehingga ada yang berkata" susahnya hidup di zaman sekarang. hidup pun susah! mati pun susah!'. 

terus saya menuju ke bilik. Kedengaran alunan ayat-ayat dari surah Yasin sedang berkumandang."Assalamualaikum!" saya mohon izin untuk masuk sambil menguak daun pintu. Jelas kelihatan sekujur tubuh kaku tak bernafas lagi walaupun hadirin di sisinya memanggil-manggil. Ternyata saya mengenali empunya jasad itu. Jasad itu cukup bermakna dalam diri saya. Jasad itu begitu berjasa. Banyak berkorban semata-mata untuk orang lain. Saya ingat lagi, semasa saya berumur 6 tahun. Ketika itu TASKI ABIM Seberang Marang (sekarang PASTI Fatimah el-Zahra) baru memulakan operasi. Saya merupakan generasi pertama dihantar ke situ. Ayah merngerjakan tanah  di Bukit Gong Tepas yang jaraknya 3km dari rumah. Ayah mengusahakan tanaman tembakau. Satu hari, selepas balik dari Taski, saya membonceng basikal yang ditunggang Abang Rashid menuju ke tempat ayah mengerjakan tanaman tembakau. Tiba ditempat ayah, saya terus terkam bekalan makanan yang disiapkan emak.   Kegopohan saya menyebabkan makan bertaburan di atas tanah. ayah yang seharian membanting tulang mengerah keringat mengangkat cangkul mula menuju bangsal kecil tempat berteduh. Hampanya ayah melihat nasi, ikan kembung rebus dan sambal belacan bertaburan di atas tanah. Botol air mati pun terbalik juga.  Bayangkan perasaan ayah ketika itu! Tapi ayah sabar. Sabar itu sebahagian dari iman. Tanpa sabar hilanglah iman. Tanpa iman, tak bermakna sabar.  Ayah menguis lopak ditepi kaki bangsal. Ayah mencedok air dalam lopak. Itulah makanan ayah hari itu. Itulah juga minuman ayah. Subhanallah! Hebatnya ayah!

di sisi ayah ada Mak su. Ada Mak ngah. Ada Mak cik. Sedara yang lain juga ada. Masing-masing kumat-kamit melafazkan ayat-ayat Yasin sebagai hadiah buat ayah. Terus saya dapatkan ayah. Dahi ayah saya kucup perlahan. Kucupan sayang seorang anak dan Kucupan selamat tinggal. Seingat saya, Rasulullah s.a.w. ketika wafatnya, pernah dikucup keningnya oleh Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq. Begitu juga sahabat yang lain. Kita sepatutnya begitu juga saat mengunjungi waris yang sedang menuju Allah. Seterusnya saya tidak ketinggalan menghadiahi ayah alunan ayat-ayat Yasin. Dengan nada syahdu dan tersekat-sekat, saya munajatkan doa untuk ayah. Semoga perjalanan ayah ke sana aman dan tenteram tanpa halangan

Rabu, 13 Januari 2010

kenangan lalu.......


pembaca yang budiman........
ibubapa  dan anak-anak,,,, kamu tidak mengetahui siapakah antara mereka yang lebih dekat (memberi pertolongan) serta banyak memberi manfaatnya kepada kamu...(al-nisa':11)



entah kenapa, dalam beberapa hari ini saya kerap terkenangkan arwah ayah. Kadang-kadang sehingga membawa saya belayar ke alam mimpi. Apabila saya terjaga dari tidur, baru saya teringat, rupanya sekadar di alam khayalan. Ayah sudah lama meninggalkan saya. Meninggalkan ibu dan anak-anaknya yang lain. Ayah sudah pergi buat selama-lamanya. Pergi yang tak akan kembali.



terngiang-ngiang ditelinga peristiwa pagi itu. Kira-kira 10 tahun yang lalu di pagi hari Isnin. tanggal 24 Muharram 1420h bersamaan 10 Mei 1999 lebih kurang jam 9.30 pagi. Saya semasa itu sedang belajar di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu (MUTTAQUN) yang sekarang sudah bertukar nama menjadi Institut al-Quran. Ketika itu saya berada di tahun empat. Guru kelas saya ialah Sheikh Imam abu el-Maathi, tenaga pengajar yang didatangkan khas dari Mesir, tempat saya mendapat degree. Pelajar kelas saya 13 orang semuanya. Sekarang bergelar al-hafiz kecuali saya seorang . Ada yang jadi guru, pensyarah, kakitangan universiti, pendakwah, aktivis parti politik dan sebagainya. Setakat yang saya tahu, tak ada seorang pun yang menganggur. Mungkin berkat al-Quran di dada agaknya.

jam 9.30 pagi pintu kelas saya diketuk oleh Ustaz Alias, pensyarah bahasa arab. Katanya ada hal nak jumpa dengan seorang pelajar yang bernama Abdul wahab Mustaffa. Semasa itu, Sheikh Imam sedang mengadakan khatam al-quran untuk kelas kami. Hari itu menandakan kami semua sudah tamat hafalan al-quran 30 juzuk. Setelah semua ditasmik, Sheikh Imam ambil peluang adakan khatam al-quran untuk semua muridnya termasuk saya.

saya keluar. " Wahab! enta kena bersiap untuk balik kampuung sekarang. Nanti, ada orang datang menjemput", beritahu ustaz Alias."Kenapa ustaz? Kenapa saya perlu balik? Ustaz Alias termenung seketika. 'Begini Wahab, sekejap tadi pihak MUTTAQUN ada terima panggilan dari keluarga enta". Ustaz Alias menjelas. "Ada ape ustaz?" Saya terus mencari kepastian. Ustaz Alias mendekatkan bibirnya ke telinga saya seolah mahu membisikkan sesuatu. "Ayah enta meninggal sebentar tadi", dengan nada berbisik Ustaz Alias memeluk erat saya. Mungkin bimbang sesuatu terjadi pada saya. Saya tergamam. Kaku seketika. Jantung saya seolah berhenti dari berdenyut. "Sabar!" Ustaz Alias menenangkan saya.  

kembali masuk ke dalam kelas dan bertemu dengan Sheikh Imam. "Maafkan ana sheikh. Ana tak dapat bersama Sheikh meneruskan pengajian al-Quran pagi ini. Ana mesti pulang segera. Ayah ana meninggal", saya memohon kebenaran. Saya berdiri sekejap di hadapan kelas. Kepada rakan-rakan saya mohon maaf. Memberitahu mereka ayah saya dah tak ada. Saya tak sedikit pun menangis. Sedih sememangnya menjadi fitrah manusia. 

terus saya ke asrama mengemaskan barang untuk pulang. Seketika, abang Musa iaitu abang saya yang sulong dari ibu yang berlainan tiba dengan mostorsikalnya untuk menjemput saya. Sebelum pulang, sempat saya bersalaman dengan Ustaz Radhi, warden asrama dan Ustaz Shamsul Bahri yang mashurnya dipanggil student MUTTAQUN dengan gelaran ustaz seng. Abang Musa membonceng saya untuk bertemu ayah.....

bersambung..... 

Rabu, 6 Januari 2010

Ketujuh : untuk agama saudara


  • letakkan diri saudara sebagai seorang tentera yang sentiasa bersiap sedia hanya menunggu perintah untuk mara dan bertindak.




  • hendaklah saudara bekerja untuk menyebarkan fahaman islam pada segenap ceruk desa dan rantau. Dalam menjalankan pekerjaan ini, hendaklah saudara sentiasa berhubung rapat dengan mereka yang sudah terlibat dan berpengalaman.




  • hendaklah saudara seberapa daya upaya berusaha menghidupkan adat-adat yang bercorak islam. Sebaliknya mematikan budaya asing dalam semua lapangan hidup termasuk cara memberi hormat, bahasa pertuturan, sejarah, pakaian, alat-alat rumah tangga, masa bekerja dan cuti, masa berehat dan makan minum, cara-cara datang dan pulang, cara berduka dan bergembira dan sebagainya. Dalam semua adat ini hendaklah saudara beramal dengan sunnah rasulullah s.a.w.




  • tanamkan dalam diri saudara cita-cita dan keazaman yang tinggi untuk mati syahid dan bersedia seberapa daya upaya untuk berjihad serta mati bersama para syuhada’.




  • hendaklah saudara gagah dengan bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kegagahan sikap ini tidaklah bererti menghalang saudara daripada bergurau senda dan bergelak ketawa dengan senyuman.




  • hendaklah saudara pulaukan segala badan atau pertubuhan yang menentang ideologi islam yang maha suci. Pulaukan secara bersungguh-sungguh dan berterusan.



Kelapan : untuk jiwa saudara


  • janganlah saudara berputus asa terhadap Allah tabaraka wataala. Sentiasalah beringat kepada hari akhirat dan bersedia untuknya. Berusahalah setiap hari untuk menuju keredhaan allah dengan hemah dan keazaman yang kuat.




  • hendaklah saudara sentiasa memberbaharui taubat. Beristighfar memohon ampun kepada Allah. Bukan sahaja daripada dosa-dosa besar, tetapi juga daripada dosa-dosa kecil juga saudara menjauhinya.




  • hendaklah saudara perangi hawa nafsu saudara sehebat-hebatnya. Biar saudara yang memimpinnya bukan saudara dipimpin. Tundukkkan pandangan saudara. Kuasailah desak kemahuan semula jadi dalam diri dan arahkanlah hala tuju semua itu ke arah kebaikan. Elakkan daripada sesuatu yang haram.




  • masa saudara hendaklah dijaga sebaik-baiknya kerana itulah merupakan umur hidup saudara. Maka janganlah saudara menghabiskan masa itu walau sedikit kepada pekerjaan yang tidak berfaedah. Malah saudara juga perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara syubhat atau perkara yang kurang jelas hukumnya supaya terselamat daripada perkara yang haram.




  • sebelum tidur pastikan saudara memperuntukkan masa untuk menyoal diri sendiri tentang kebaikan yang saudara kerjakan dan kejahatan yang telah saudara terlanjur.



Untuk semua perkara itu:


  • hendaklah saudara bermuhasabah tentang sejauh manakah saudara telah menunaikan kewajipan-kewajipan tersebut. Jika saudara telah berpuas hati terhadap apa yang saudara telah lakukan, bersyukurlah. Tetapi jika saudara dapati masih ada lagi kekurangan, maka bertaubatlah dan minta ampunlah kepada Allah. Kerana, Allah sebaik-baik pengawal dan sebaik-baik pembantu.


Ahad, 3 Januari 2010

untukmu sahabat.....3

Kelima: untuk poket saudara

  • janganlah saudara berlumba-lumba mencari pekerjaan di jabatan kerajaan dengan cara yang tidak betul. Ketahuilah jabatan kerajaan sesempit-sempit pintu rezeki dan cara yang tidak betul tiada keberkatan padanya. Tetapi, janganlah saudara terus menolak apabila peluang mendatanhg. Juga jangan saudara melepaskan pekerjaan dalam jabatan kerajaan kecuali kalau benar-benar pekerjaan itu berlawanan dengan kewajipan saudara sebagai seorang islam.
  • hendaklah saudara mebuat apa-apa pekerjaan ekonomi sekalipun saudara sudah kaya raya. Campakkan diri saudara ke dalam apa jua pekerjaan walau apa jua martabat dan pengetahuan yang saudara ada.
  • hendaklah saudara berhati-hati supaya menunaikan tugas dengan cukup amanah . jangan sesekali saudara cuba menipu masa, tugas dan tempat. Setiap tugas saudara adalah dikira ibadah.
  • wang saudara, hendaklah saudara menabung sebagahian daripadanya demi untuk masa-masa kecemasan saudara walaupun sedikit. Jangan saudara terjerumus ke dalam perbelanjaan yang tidak mustahak.
  • hendaklah saudara menyumbangkan sedikit daripada harta saudara untuk pergerakan islam. Jangan lupa mengeluarkan zakat yang wajib. Malah hendaklah saudara peruntukkan sedikit daripada harta itu untuk menolong mereka yang memerlukan dan yang putus rezeki walaupun pendapatan saudara adalah kecil.
  • jauhkan diri daripada semua amalan riba dalam semua muamalah jual beli malah bebaskan diri dari segala cengkaman itu. Hendaklah saudara menggunakan harta umat islam kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan pembangunan ekonomi.
  • Berhati-hatilah menggunakan wang saudara supaya jangan sesekali keciciran walau sesen pun ke tangan pihak yang bukan islam walau apa jua keadaan. Pastikan juga saudara tidak makan dan pakai melainkan apa yang dihasilkan oleh orang islam.
  • hendaklah saudara memerangi tempat-tempat permainan yang kotor apatah lagi menghampirinya malah hendaklah juga saudara menjauhi cara hidup yang mewah dan senang lenang.
  • hendaklah saudara menjauhkan diri dari permainan judi walau apa jenisnya dan tujuannya. Samalah seperti saudara menjauhkan diri daripada sumber-sumber yang haram walaupun di sebalik itu ada keuntungan yang boleh didapati secara serta-merta.

Keenam: untuk orang lain

  • hendaklah saudara menunaikan dengan tepat sebarang kota dan janji saudara. Jangan sama sekali memungkirinya dengan 1001 alasan. Alasan akan membuat saudara merana.
  • Saudara perlu memiliki sifat berani dan tahu memikul tanggungjawab. Semulia-mulia sifat berani itu ialah berani berterus terang dalam perkara yang benar walaupun pahit. Sanggup menyimpan rahsia. Berani mengakui kesilapan sendiri. Akui kekurangan diri dan mengawal emosi diri ketika marah.
  • berkewajipan saudara berlaku adil dan betul dalam menjalankan sesuatu hukuman walau apapun perkaranya. Jangan saudara lupakan kebaikan orang lain dengan sebab marah kepadanya. Jangan pula saudara memejam mata daripada kejahatan-kejahatan orang lain dengan sebab sayang kepadanya. Budi orang hendaklah dikenang walau ketika bermusuhan. Khianat orang hendaklah diingat walau ketika berkawan.
  • jauhilah daripada bergaul dengan rakan-rakan yang jahat dan kawan-kawan yang rosak akhlak. Juga tempat-tempat maksiat dan dosa.
  • saudara hendaklah sentiasa merendah diri tetapi bukanlah kerana hina atau bertongkat kepada orang lain. Apabila saudara meminta sesuatu, hendaklah permintaan itu kurang dari martabat saudara supaya dengan demikian saudara dapat mencapai martabat itu dengan kebenaran.
  • hendaklah saudara benar-benar cergas dan terlatih dalam membuat perkara-perkara kebajikan. Sehinggalah sampai ke tahap saudara merasa gembira dan bahagia apabila dapat memberi khidmat kepada orang lain. Untuk maksud ini hendaklah saudara menziarahi orang-orang yang berhajat. Menanggung bebanan orang-orang yang lemah dan melapangkan orang-orang yang ditimpa bencana sekalipun sekadar dengan kata-kata yang manis. Jangan sesekali tinggal kerja-kerja kebajikan.

Jumaat, 1 Januari 2010

Ketiga: untuk jasad saudara



  • peliharalah kesihatan saudara. Segera berjumpa doctor supaya saudara diperiksa kesihatan. Jika saudara dikesan menghidapai apa-apa penyakit, lekas-lekas mencari penawarnya. Sentiasalah saudara mengambil berat tentang sebab-sebab kesihatan diri dan penjagaannya. Jauhilah sebab-sebab yang mendatangkan kelemahan badan.


  • jika mampu, janganlah sekali-kali saudara merokok. Ia terbukti memudharatkan. Membahayakan kesihatan diri dan orang lain. Juga memusnahkan wang .


  • hendaklah saudara menjaga kebersihan dalam semua aspek kehidupan. Bermula dari rumahtangga saudara, pakaian saudara, makan minum saudara, tubuh badan dan tempat bekerja. Ketahuilah agama islam itu ditegakkan atas dasar kebersihan.

Keempat: untuk akhlak saudara




  • hendaklah saudara bersifat belas kasihan, pemurah dan bertolak ansur. Dalam hal ini saudara hendaklah memaaf dan mengampunkan kesilapan orang lain. Sentiasa bersabar dan bertenang. Bukan sahaja terhadap sesama manusia, tetapi terhadap haiwan pun hendaklah saudara bertimbang rasa.


  • berkelakuan baik terhadap orang ramai. Memelihara sopan santun pergaulan secara islam. Saudara hendaklah belas kasihan kepada anak kecil dan menghormati orang-orang tua. Memberi laluan dalam majlis dan melapangkan tempat untuk mereka. Janganlah mengintai-intai dan mengumpat-umpat serta menceroboh. Sebaliknya saudara terlebih dahulu meminta izin jika hendak masuk ke sesuatu tempat dan ketika hendak mengundurkan diri daripadanya.


  • tuntutlah hak saudara dengan cara yang baik. Tunaikanlah hak orang lain dengan sepenuhnya tanpa perlu dituntut-tuntut, diungkit-ungkit dan tidak berlengah-lengah.


  • percakapan saudara hendaklah ungkapan yang benar. Walau terhadap orang yang paling hampir dengan saudara. Jangan sesekali berdusta. Nanti lidah saudara akan ditanya tentang apa yang dikata tapi anggota lain yang menjawabnya.


  • hiasilah diri dengan sifat pemalu, halus perasaan dan mudah terkesan dengan sama ada dengan sesuatu yang baik atau sesuatu yang buruk. Tunjukkan kegembiraan dengan sesuatu yang baik dan simpati dengan sesuatu yang buruk.