Rabu, 13 Januari 2010

kenangan lalu.......


pembaca yang budiman........
ibubapa  dan anak-anak,,,, kamu tidak mengetahui siapakah antara mereka yang lebih dekat (memberi pertolongan) serta banyak memberi manfaatnya kepada kamu...(al-nisa':11)



entah kenapa, dalam beberapa hari ini saya kerap terkenangkan arwah ayah. Kadang-kadang sehingga membawa saya belayar ke alam mimpi. Apabila saya terjaga dari tidur, baru saya teringat, rupanya sekadar di alam khayalan. Ayah sudah lama meninggalkan saya. Meninggalkan ibu dan anak-anaknya yang lain. Ayah sudah pergi buat selama-lamanya. Pergi yang tak akan kembali.



terngiang-ngiang ditelinga peristiwa pagi itu. Kira-kira 10 tahun yang lalu di pagi hari Isnin. tanggal 24 Muharram 1420h bersamaan 10 Mei 1999 lebih kurang jam 9.30 pagi. Saya semasa itu sedang belajar di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu (MUTTAQUN) yang sekarang sudah bertukar nama menjadi Institut al-Quran. Ketika itu saya berada di tahun empat. Guru kelas saya ialah Sheikh Imam abu el-Maathi, tenaga pengajar yang didatangkan khas dari Mesir, tempat saya mendapat degree. Pelajar kelas saya 13 orang semuanya. Sekarang bergelar al-hafiz kecuali saya seorang . Ada yang jadi guru, pensyarah, kakitangan universiti, pendakwah, aktivis parti politik dan sebagainya. Setakat yang saya tahu, tak ada seorang pun yang menganggur. Mungkin berkat al-Quran di dada agaknya.

jam 9.30 pagi pintu kelas saya diketuk oleh Ustaz Alias, pensyarah bahasa arab. Katanya ada hal nak jumpa dengan seorang pelajar yang bernama Abdul wahab Mustaffa. Semasa itu, Sheikh Imam sedang mengadakan khatam al-quran untuk kelas kami. Hari itu menandakan kami semua sudah tamat hafalan al-quran 30 juzuk. Setelah semua ditasmik, Sheikh Imam ambil peluang adakan khatam al-quran untuk semua muridnya termasuk saya.

saya keluar. " Wahab! enta kena bersiap untuk balik kampuung sekarang. Nanti, ada orang datang menjemput", beritahu ustaz Alias."Kenapa ustaz? Kenapa saya perlu balik? Ustaz Alias termenung seketika. 'Begini Wahab, sekejap tadi pihak MUTTAQUN ada terima panggilan dari keluarga enta". Ustaz Alias menjelas. "Ada ape ustaz?" Saya terus mencari kepastian. Ustaz Alias mendekatkan bibirnya ke telinga saya seolah mahu membisikkan sesuatu. "Ayah enta meninggal sebentar tadi", dengan nada berbisik Ustaz Alias memeluk erat saya. Mungkin bimbang sesuatu terjadi pada saya. Saya tergamam. Kaku seketika. Jantung saya seolah berhenti dari berdenyut. "Sabar!" Ustaz Alias menenangkan saya.  

kembali masuk ke dalam kelas dan bertemu dengan Sheikh Imam. "Maafkan ana sheikh. Ana tak dapat bersama Sheikh meneruskan pengajian al-Quran pagi ini. Ana mesti pulang segera. Ayah ana meninggal", saya memohon kebenaran. Saya berdiri sekejap di hadapan kelas. Kepada rakan-rakan saya mohon maaf. Memberitahu mereka ayah saya dah tak ada. Saya tak sedikit pun menangis. Sedih sememangnya menjadi fitrah manusia. 

terus saya ke asrama mengemaskan barang untuk pulang. Seketika, abang Musa iaitu abang saya yang sulong dari ibu yang berlainan tiba dengan mostorsikalnya untuk menjemput saya. Sebelum pulang, sempat saya bersalaman dengan Ustaz Radhi, warden asrama dan Ustaz Shamsul Bahri yang mashurnya dipanggil student MUTTAQUN dengan gelaran ustaz seng. Abang Musa membonceng saya untuk bertemu ayah.....

bersambung..... 

0 comments: