Rabu, 20 Januari 2010

kenangan lalu.....episod 2

setengah jam membonceng motorsikal, kami pun tiba di rumah. Tanpa berlengah, saya terus masuk. Mencari ayah. Kepada ibu saya menerpa. "Mak! mana ayah?" soalan pertama saya. "Ayah dalam bilik", balas emak. Suasana di rumah sepi dan suram. Di halaman sana, orang kampung mula memenuhi. Sememangnya ayah begitu popular di kalangan orang kampung. Bukan kerana ayah seorang berjawatan. Bukan juga kerana ayah seorang hartawan. Tapi ayah cukup dikenali. Dari Kelulut sampailah ke Rusila. sebut saja nama Pak De Awang Tukang Mandi Mayat pasti orang akan mengenalinya. Sehinggakan kanak-kanak juga ada yang mengenalinya. Tugas rasmi ayah dalam masyarakat ialah menguruskan jenazah. Ayah tidak memiliki pakej komersil seperti yang rancak berkembang di zaman sekarang. Pakej yang menakutkan seseorang untuk mati. Sehingga ada yang berkata" susahnya hidup di zaman sekarang. hidup pun susah! mati pun susah!'. 

terus saya menuju ke bilik. Kedengaran alunan ayat-ayat dari surah Yasin sedang berkumandang."Assalamualaikum!" saya mohon izin untuk masuk sambil menguak daun pintu. Jelas kelihatan sekujur tubuh kaku tak bernafas lagi walaupun hadirin di sisinya memanggil-manggil. Ternyata saya mengenali empunya jasad itu. Jasad itu cukup bermakna dalam diri saya. Jasad itu begitu berjasa. Banyak berkorban semata-mata untuk orang lain. Saya ingat lagi, semasa saya berumur 6 tahun. Ketika itu TASKI ABIM Seberang Marang (sekarang PASTI Fatimah el-Zahra) baru memulakan operasi. Saya merupakan generasi pertama dihantar ke situ. Ayah merngerjakan tanah  di Bukit Gong Tepas yang jaraknya 3km dari rumah. Ayah mengusahakan tanaman tembakau. Satu hari, selepas balik dari Taski, saya membonceng basikal yang ditunggang Abang Rashid menuju ke tempat ayah mengerjakan tanaman tembakau. Tiba ditempat ayah, saya terus terkam bekalan makanan yang disiapkan emak.   Kegopohan saya menyebabkan makan bertaburan di atas tanah. ayah yang seharian membanting tulang mengerah keringat mengangkat cangkul mula menuju bangsal kecil tempat berteduh. Hampanya ayah melihat nasi, ikan kembung rebus dan sambal belacan bertaburan di atas tanah. Botol air mati pun terbalik juga.  Bayangkan perasaan ayah ketika itu! Tapi ayah sabar. Sabar itu sebahagian dari iman. Tanpa sabar hilanglah iman. Tanpa iman, tak bermakna sabar.  Ayah menguis lopak ditepi kaki bangsal. Ayah mencedok air dalam lopak. Itulah makanan ayah hari itu. Itulah juga minuman ayah. Subhanallah! Hebatnya ayah!

di sisi ayah ada Mak su. Ada Mak ngah. Ada Mak cik. Sedara yang lain juga ada. Masing-masing kumat-kamit melafazkan ayat-ayat Yasin sebagai hadiah buat ayah. Terus saya dapatkan ayah. Dahi ayah saya kucup perlahan. Kucupan sayang seorang anak dan Kucupan selamat tinggal. Seingat saya, Rasulullah s.a.w. ketika wafatnya, pernah dikucup keningnya oleh Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq. Begitu juga sahabat yang lain. Kita sepatutnya begitu juga saat mengunjungi waris yang sedang menuju Allah. Seterusnya saya tidak ketinggalan menghadiahi ayah alunan ayat-ayat Yasin. Dengan nada syahdu dan tersekat-sekat, saya munajatkan doa untuk ayah. Semoga perjalanan ayah ke sana aman dan tenteram tanpa halangan

0 comments: