Rabu, 27 Januari 2010

warisan ayah.........

kini, lebih 10 tahun ayah meninggalkan kami sekeluarga. Sepanjang hayatnya ayah pernah berkahwin dengan 2 orang perempuan. Sebelum emak menjadi pilihan ayah untuk dijadikan permaisurinya, ayah pernah berkahwin  dengan Puan Syarifah (sekarang allahyarhamuha). Perkahwinan pertama ini, ayah dikurniakan 5 orang anak. 4 lelaki dan seorang perempuan. Abang Musa, Kak Simah, Abang Ali, Abang Aziz dan Abang Usop.

emak  mengambil alih peranan suri hidup ayah setelah perkahwinan pertama ayah menemui kegagalan. Perkongsian hidup ayah dan emak melahirkan seorang puteri dan 5 orang askar. Abang Rashid, Abang Razak, Abang Majid, saya dan Adik Mek. Semuanya sudah membawa haluan hidup masing-masing kecuali Abang Razak. Semoga Allah akan ketemukannya jodoh yang baik. Amin.

pendidikan ayah sekadar sekolah pondok. Setakat pengetahuan saya, ayah pernah belajar di Pondok Haji Mat Shafie, Losong. Kampung Losong hari ini lebih dikenali dengan perusahaan keropok. Kesan warisan pengajian pondoknya hilang dicelah-celah kemashuran perusaan keropok. Betullah kata pepatah, "harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Ayah juga pernah berguru dengan Tuan Guru Haji Syuaib, Alor Tuman.

mungkin pelita ayah sudah ditakdirkan malap. Ayah tidak mampu menulis. Membaca pun hanya tulisan jawi. Kalau ejaan rumi, ayah hanya mampu mengeja namanya sahaja. Itupun setelah diulang beberapa kali. Tetapi Allah itu sifatnya Maha Kaya. Maha Adil. Dikurnianya hikmah dan kemahiran kepada sesiapa yang menjadi pilihannya dan disembunyikan hikmah dari sesiapa yang sudah ditentukannya. Itulah ALLAH. Rabbul Alamin.

ayah memiliki satu kemahiran yang tidak dimiliki oleh orang lain. Kemahiran yang membuatkan ayah cukup dikenali. Dari Kelulut sampailah Rusila. Dari Marang sampailah Pengkalan Berangan. Ayah kadang-kadang dicari macam polis mencari penjenayah. Kalau ayah ke pasar, pencari tetap akan mencari. Kalau ayah ke laut, si pencari setia menanti. Pendek kata, kalau ayah diperlukan, ayah tetap akan dicari. Itulah gunanya ayah dalam masyarakat. Hanya kerana ayah berkemahiran menguruskan jenazah. Sehinggakan dalam rekod sekolah saya, cikgu mencatat bahagian pekerjaan bapa: mengurus orang mati.

ayah mula berkecimpung dalam pengurusan jenazah seawal usia 20-an. Mewarisi ilmu ini dari arwah Tok Ki. Zaman Tanah Melayu belum merdeka lagi. Zaman orang bersekolah boleh dibilang dengan jari. Lulus darjah 6 dah dikira tinggi. Kalau nasib menyebelahi, dapat jadi pegawai. Hingga ayah menghembuskan nafas terakhir, ayah bergelumang dengan mayat lebih kurang 50 tahun. Macam-macam mayat ayah uruskan. Yang hilang kaki. Yang putus kepala. Yang dipotong tangannya. Yang lemas dilaut.Yang hilang dan dijumpai tergantung dalam hutan. Yang di patuk ular. Yang kalu saya coretkan di sini, tak sanggup anda membacanya pun ada dan macam-macam lagi.

mungkin satu pengalaman ayah boleh saya kongsi di sini. Awal ayah jadi pengurus jenazah. Zaman itu zaman baru merdeka. Khurafat dalam alam melayu memang banyak. Tahyul jadi kebanggaan. Bomoh jadi rujukan. Bila ada je masalah, rujukannya ialah bomoh. Bomoh pulak bela-belaan. Ada pakai jin. pakai hantu. pelesit dsb. Maka khianat dibalas khianat.

satu ketika ayah dijemput menguruskan mayat seorang tua yang baru meninggal dunia. menurut cerita orang ini semasa hayatnya terkenal dengan banyak belaan hantu raya. Sebelum meninggal, khabarnya dia terlentang di tikarnya lebih 3 bulan. Namun sebaik meninggal, mayatnya terus berulat. Apabila ayah tiba, ayah sudah mendapat alamat sesuatu berasaskan pengalamannya sebelum ini. Firasat ayah memberitahu sesuatu yang buruk. Namun ayah tetap teruskan tanggungjawabnya. Amanah yang disanggupinya tetap akan dilakukan. 

ayah membuka kain tutup mayat. Terkejut ayah. Mata si mati bulat merenung tepat wajah ayah.  Pengalaman mengajar ayah membuat pendinding. Pada pandangan ayah, orang ini sebenarnya bukan baru meninggal. Tapi sudah lebih seminggu. Dengan pengalaman yang ada, ayah memandikan dan mengkafankan. Selesai sembahyang, jenazah dibawa ke perkuburan sebagaimana lazimnya.

malam itu ayah tak dapat tidur. Sesuatu telah mengganggunya. Ia berterusan beberapa hari. banyak tempat yang ayah pergi mencari penawar. Pendindingnya tidak sekuat orang itu. Penyakit ayah tak dapat disahkan. Mental pun tidak, fizikal pun tidak. Ayah akhirnya dimasukkan ke wad psikiatri. Kata emak, 2 tahun emak berulang alik ke Hospital Besar Kuala Terengganu (sekarang Hospital Sultanah Nur Zahirah) menjaga ayah.

0 comments: